KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa 'seseorang' yang lebih berkuasa telah memberikan arahan kepada Low Taek Jho, atau Jho Low, kerana adalah mustahil bagi ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menguasai berjuta-juta dolar wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa individu berkenaan.

Kevin Micheal Swampillai, 59, yang berkhidmat dengan BSI Bank Singapore dari 2010 hingga 2016 berkata 'seseorang' itu boleh jadi ketua pengarah atau perbendaharaan, atau seorang individu daripada kerajaan.

"Saya tidak fikir Jho Low boleh menguasai wang berjuta-juta dolar sesuka hati namun individu itu tidak semestinya Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes rasuah bekas Perdana Menteri tersebut yang membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Kevin juga berkata bank itu hanya berurusan dengan Jho Low melalui bekas Pengurus Perhubungannya iaitu Yak Yew Chee oleh itu, beliau mempunyai interaksi yang amat terhad dengan ahli perniagaan tersebut dan mungkin bertemu dengannya dua atau tiga kali.

Saksi itu juga berkata Jho Low tidak pernah secara peribadi memaklumkan bahawa beliau rapat dengan Najib.

Kevin juga bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa hanya kerana SRC International Sdn Bhd dan 1MDB dimiliki oleh Kementerian Kewangan ketika Najib menjadi Menteri Kewangan, ini tidak bermakna Najib tahu semua transaksi yang membabitkan kedua-dua entiti.

Selain itu, Kevin berkata beliau dan rakan lain dari BSI Bank telah meluahkan rasa syak wasangka mereka berhubung 1MDB dan SRC International kepada pihak atasan bank tersebut namun digalakkan untuk meneruskan transaksi yang menguntungkan serta membabitkan jumlah wang yang besar.

Katanya beliau berasa pelik kerana kesemua syarikat berkaitan kerajaan atau dana kekayaan negara Malaysia itu telah memilih BSI Bank yang bukan sebuah bank besar dan mengesahkan transaksi yang dilakukan membabitkan jumlah wang yang besar.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 17 April depan.

-- BERNAMA